Thursday, November 05, 2009

Catatan Awal November 2009

3 November 2009.


Kulit buku Daerah Beta


DAERAH BETA: sebuah novel yang diangkat dari peristiwa sebenar di tahun 90an, bagaimana penduduk Bukit Merah, Papan dan Mengelembu berjuang menolak pembinaan Radio aktif yang penuh dengan bahan kimia yang merbahaya.. Lukimia telah menyerang penduduk kawasan itu. Ia menjadi daerah ‘beta’.

May, gadis Cina, anak pekebun sayur menikah dengan pemuda Melayu, menjadi tonggak perjuangan, berdemonstrasi berjalan kaki berkilometer ke mahkamah Ipoh.

Terakhir, dia sendiri melahirkan anak mangsa Beta.

Patut di baca untuk melihat satu demonstrasi hebat. Boleh dibeli di Kedai Dawama. RM45. Novel ini akan diperkata oleh Norzaliza dari UUM anjuran Dewan Bahasa bertempat di Panggung Mekmulung, Makam Mahsuri Langkawi pada 12hb November 2009.
Orang ramai dijemput.


Kulit buku novel Suriati


SURIATI: novel yang memenangi tempat pertama Sayembara Novel Remaja Berunsur Islam tahun 1991 anjuran Pusat Islam. Ia diedisikan semula dengan gaya terkini. Sikap dan fahaman seorang perempuan Barat yang memeluk Islam, Masudah Steiman, yang menjadi isteri kedua kepada seorang wartawan.

Pertemuan dua beradik hanya kerana diarah oleh guru menulis novel kompilasi. Mereka menjadi cinta bertambah, kasih tak sudah. Bukan jodoh tetapi pertautan darah daging.
Penerbit Al Ameen, RM19.00


Pn Norimah Ketua Penerbitan Sastera DBP dan kanan Pn.Halilah Editor novel Daerah Beta dan Sangeetha.


Dari kanan, Pn Norimah Ketua Penerbitan Sastera DBP dan kanan Pn. Halilah, editor novel Daerah Beta dan juga Sangeetha.


Ibnu Ahmad Al Khurauwi, penulis muda yang mempunyai potensi baik. Pegawai DBP.


Ibnu Ahmad Al Khurauwi, seorang penulis muda yang berbakat. Pegawai di DBP. Menemuinya di Geleri Buku DBP, menghadiahkan antologi cerpennya yang terbaru; Di Dadanya Kalam Tuhan.
Terima kasih kerana hadiah buku dan CD Tulisan Jawi.


2hb November 2009.


Mohd. Zulkifli, Adun Bagan Pinang yang kalah melihat sesuatu yang anih pada buku akun bank Kamsiah


Ke Lenggeng Negeri Sembilan, cuba menziarahii Nenek Kamsiah 71, yang dikatakan terpaksa membela 10 cucu tinggal di rumah usang. Cucu-cucu bersekolah, ada yang tinggal di pondok berlantaikan buluh. Ada anak-anak entah hilang ke mana. Beliau tinggal di belakang Pejabat Pos pekan Lenggeng.

Begitu cerita yang tersiar di Utusan Malaysia pada 13 September 2009. Dalam berita itu telah dijanjikan kepadanya berbagai-bagai dan kononnya Nenek Kamsiah kesal kerana sudah 14 tahun anak-anaknya entah hilang ke mana.

Siiiuuuppppp! Berderau darah. Tapi mujur Wakil Rakyat di situ menghulurkan bantuan dalam sarung kad hari raya.

“RM50” beritahu nenek Kamsiah, ketika saya bersama Kasim Mohamad dan Mohamad Zulkifli Omar, calon yang kalah di Bagan Pinang yang lalu.

Kekaguman saya hendak melihat sendiri, betapa seorang nenek 71 tahun membela, menyuap, menyekolah cucu seramai 10 orang. Dengan apa disuapnya cucu-cucunya kalau sudah tak ada kerja, ibubapa cucu-cucunya entah ke mana menghilangkan diri.

Saya mengutuk anak-anaknya bila membaca berita itu.


Pondok ini cuma tempat main pondok-pondok, bukan tempat tidur tetap cucu-cucu Kamsiah



Meja tempat belajar cucu-cucu Kamsiah


Tapi lain pula jadinya apabila saya, Kasim dan Bekas Adun Bagan Pinang, Sdra Zulkifli menziarahi pada 2hb November 2009 jam 12 tengahari. Sebuah kereta Waja di tepi rumah kepunyaan anak perempuan. Seorang anak lelaki turut bersama.

“Dua hari sekali, malah setiap hari kami di sini,” kata anak perempuannya. “Macam mana laporan itu kata kami menghilang diri sudah 14 tahun?”

Ahhh, banyak cerita yang tidak tepat. Saya mengeleng kepala terutama apabila mendapat cerita bagaimana buku bank (?) Nenek Kamsiah cuba dimanipulasi apabila ada ingin membantu melalui akaun bank.

Ahhh, banyak cerita yang dipolitikkan kepada si miskin ini. Kasihan.

Saturday, October 31, 2009

Persepsi Pun Kena Urus Juga


Persepsi Pun Kena Urus Juga
Oleh: Man Bom

Tuan Azizi,

Pertama sekali, minta maaf banyak-banyaklah kerana kirim surat ini dekat tuan. Tuan tak minta pun, saya yang terlebih hemoi. Tapi saya nak minta tolong dekat tuan. Saya mohon dekat tuan, tolong siarlah surat ini dalam blog tuan. Biar orang-orang Pas, orang-orang yang sokong Pas yang bukan Melayu, macam Ah Seng dan Muthu pun boleh baca.

Saya nak cakap tentang gambaran orang. Depa kata ‘persepsi’ orang terhadap Pas. Apakah kesan persepsi ini dalam PRU13 nanti.

Mai kita buka kamus sikit. Mengikut Kamus Dewan, edisi keempat, 2005 ‘persepsi’ itu “gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran(tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera)”.

Itu persepsi. Mai kita tengok satu-satu...

Siapa pengundi kita

Kalaulah kita tanya seorang rakyat Malaysia itu, “Apa pandangan tuan tentang Pas?” Jawapan yang kita terima mungkin bergantung pada ‘persepsi’ orang itu terhadap Pas. Mungkin ‘persepsi’ ini bergantung pada ‘asal usul’ dia. Apakah orang itu:

i) Seorang penyokong kuat Pas yang tak undi yang lain kecuali Pas. Ada orang kata ini ‘hard core’ Paslah. Ada istilah yang lebih teruk lagi: Sang ‘fanatik’ Pas.

ii) Apakah orang itu ‘hard core’ Umno? Jika kita pakai istilah di atas, yang ini si ‘fanatik’ Umno yang karatnya biru.

Kedua-dua kumpulan yang ini, biasanya orang-orang Melayulah.

Lepas itu, ada juga pengundi kita yang datangnya dari kelompok-kelompok macam:

iii) Adakah orang itu bukan Melayu; Cinakah atau pun Indiakah.

iv) Apakah sumber maklumat orang-orang ini, banyakkah atau sikitkah maklumat yang dia ada: Banyak maklumat, rajin membaca, banyak bergaul dengan orang dll.

v) Adakah orang itu tinggal di bandar atau di luar bandar.

Sebagai pengundi orang-orang ini ada persepsi dia sendiri-sendiri. Kecuali untuk golongan yang ‘hard core’ yang selalunya tak berubah, kelompok-kelompok lain mungkin berubah.

Ada benda lain yang kita kena perhati..

Parti lawan pun makan nasi juga

Bila kita nak masuk PRU13 nanti, apakah mood masa itu? Apakah orang-orang Malaysia masih dok kata ‘undilah siapa pun kecuali Umno/BN?’ Mood ini akan berulang lagikah? Apakah kesan 1 Malaysia dan program-program lain yang Tok Jib nak buat menjelang PRU13 tak memukau pengundi, lebih-lebih lagi yang dok atas pagar?

Strategi untuk menang

i) Adakah kita masih dok harap lawan lemah, supaya kita boleh menang?

ii) Adakah kita Pas ni, di mata rakyat, sudah betul-betul nampak macam parti yang dah bersedia untuk perintah Malaysia? Atau kita masih dok serak parau dengan slogan ‘pemerintahan Islam’ hingga berbuih-buih keluar dari kepala (atau mulut?) ulamak kita?

iii) Adakah kita masih dok raba-raba, tercari-cari apakah yang patut kita buat dulu. Macam sembahyanglah mesti tertib, yang dulu didahulukan. Apakah dia keutamaan yang pengundi kita tuntut?

iv) Atau apakah kita juga, macam Umno juga dok syok betul dengan slogan?

Persepsi terhadap Pas di mana saja, on the ground setelah PRU12

Persepsi pengundi terhadap kita: Pas itu parti yang boleh belot bila-bila masa saja

i) Apakah persepsi yang kita ni (baca: Pemimpin besar Paslah) yang nak belot lepas PRU12 dah betul-betul tak akan belot lagi? Kira semua orang dah betul-betul tak ingat lagilah yang kita ni pernah nak belot? Orang dah lupa? Pengundi bukan Melayu dan bukan Islam pun sudah yakin yang Pas ni baik dan takkan main kayu tiga? Susah tu. Macam mana nak tahu yang orang betul-betul yakin? Kata depa bolehkah ‘damage control’ ala sumpah ‘wa tatak buat lagi’, diterima? Ini kes Mongolia yang buat semua orang tak yakin sampai bila-bila.. Nak buat macam mana? Apakah cukup dengan kata, “Dak, sumpah, abang tak buat, percayalah!!” Itu EGMlah yang kena tengok. Biar cuci macam kata iklan; bersih sebersih-bersihnya. Tak boleh? Tuan Azizi, tak boleh begitu?

ii) Apakah kita yakin yang semua jenis pengundi yang bukan hard core Pas telah yakin, cukup-cukup yakinlah yang Pas boleh ini boleh diharap? Atau adakah kita ni, sama macam Umno tak berdaya nak betul-betul mengaku INILAH masalah besar kita sekarang ni? Pemimpin-pemimpin besar kita, macam pemimpin besar Umno juga ada kisah macam Mongolianya sendiri. Mereka pernah mau main kayu tiga.

iii) Apakah kita yakin yang hard core Pas juga tidak meluat yang amat sangat dengan skandal belot yang menyakitkan hati depa ini?

Pas, macam Umno parti untuk Melayu: Islam hanya sebagai pelaris jualan saja

“Pas for all” atau “Pas untuk semua” tak banyak berbeza dengan 1Malaysia atau Islam Hadhari. Ini gimik jualan murah musim raya. Tak betul? Serangan Pas terhadap beer, dok bisu masa tragedi kepala lembu dll contoh perangai kita. Itu belum lagi masuk gian kita dok ligan konsert maksiat. Ah Chong dan Muthu pun dok pening. Awat tak ligan Khir?

Penutup

Tuan

Rasanya ada yang marah dengan tulisan ini. Mungkin ramai yang tuduh tuan ni agen Umno kerana siar tulisan ini di blog tuan. Saya, depa kata pecacai busuk Umno yang dibayar untuk buat fitnah.

Saya rasa para pemimpin kita, pemimpin besar Pas, sebagai ulamak tentu lebih mengetahui. Depa tau, sebab depa ulamak... (Tak boleh diteruskan, nanti dicap menghina..itu dan ini.)

Tuan tahu, apa dia tragedi kita? Kita, sama macam Umno tak terupaya nak urus pandangan yang tak sama. Kita kutuk orang yang tak setuju dengan kita. Saya mengarut? Tak apalah kalau tuan tak setuju. Biarlah kita berbeza pandangan. Saya juga tidak berbeza, sama seperti Umno? Ya, tuan mungkin juga betul. Saya manusia biasa yang makan nasi macam orang-orang Umno, dan tentulah saya bukanlah ulamak.

Tuan,

Tuan tak payah pergi jauh-jauh, tuan tengok gaya pengurusan kita.... termasuk yang ulamak. Tengok macam mana kemelut yang akhir-akhir itu diurus. Ada tikar, ada sampah. Biarlah tuan marah, bagi saya Pas ini tak banyak beza dengan Umno/BN yang selalu tergila-gila nak tubuh jawatankuasa bila ada masalah.

Agak-agak berapa juta jawatankuasa yang dah kita tubuh, sejak merdeka? Pas nak jadi macam tu?

Semua ini fitnah jahat yang dikutuk Tuhan? Nah, itulah sebabnya kita, Pas mesti belajar mengurus: Termasuk nak urus persepsi pengundi untuk PRU13 nanti.
Tak perlu? Lambat lagi?

Itulah sikit pandangan. Terima kasihlah kerana bagi laluan. Lepas ni tuan terimalah peluru depa-depa yang mengamuk!! Ha..haa..

Salam tuan,

Daripada:
Man Bom


Komen:

Saudara Mat Bom,

Rasa berat nak siarkan tulisan anda. Tetapi apabila saya membaca dengan teliti, ada baiknya juga, lebih-lebih lagi jika ini dibaca oleh pemimpin Pas yang kita sayangi. Saya juga sayangi Pas tetapi takkan tidak ada cacat pula.

Salam, azizi abdullah

Sunday, October 25, 2009

Takkanlah Kerana Sayangkan 'Orang Itu' Sanggup Halau 'Anak Sendiri'?

Pindah ubah dari blog Faisal Tehrani:

Takkanlah Kerana Sayangkan 'Orang Itu' Sanggup Halau 'Anak Sendiri'?




Sudah tiba masanya PAS (Majlis Syura) secara serius menggantikan Mursyidul Am PAS yang kian hari kian nanar dan semakin tua. Kewibawaan beliau juga semakin pudar. Kebijaksanaan mencerna masalah sudah semakin terhakis. Beliau hanya mendengar 'acuman' satu pihak seakan-akan PAS hanya ada satu jalur. Beliau gagal menjadi bapa yang adil untuk semua anak-anaknya. Orang yang tidak patut dibela contohnya beria-ia dipertahankan (usaha menyingkirkan beliau pernah saya tulis di blog ini: lihat sini). Sebagai 'orang PAS' apabila Presiden yang dipilih secara demokratik mahu disingkirkan semata-mata kerana ingin mempertahankan parasit dari luar maka saya rasa itu sudah melampau.

----------------------------
Jangan marahkan saya. Tulisan di atas saya nukilkan dari tulisan Faisal Tehrani dalam blognya 23 Oktober 2009 tanpa pula meminta izin darinya.

Nak kata menarik, tidak. Nak kata bagus, tak berani. Nak kata patut, nanti apa pula orang Pas kata. Nak kata mengarut, ehhh takkan pula.

Tapi saya benar-benar pening dengan Tuan Guru Nik Aziz. Saya sampai sekarang tak mampu membaca, apakah Tuan Guru seorang politikus atau agamawan zuhud atau seorang pentadbir yang cekap? Di Bagan Pinang 10 Oktober 2009 lalu sempat juga memeluk Tuan Guru ketika turun dari pentas DAP.

Kelmarin (Sabtu 24.10.2009) sempat juga SMS kepada Setiausaha Politiknya, tapi jawapan SMS berbunyi; Kenapa anda masih tak faham-faham? Bila saya kata saya tak faham, SMS tak berjawab pun.

Apa yang dapat saya simpulkan ialah: Melayu Islam yang sebenarnya ialah Melayu Islam yang tidak pernah istiqamah dalam apa hal pun, kecuali menepati satu perkara; berbuka puasa pada waktu yang tepat.

Kalau macam ni, bila Pas nak perintah Negara. Jangan yang dipegang terlepas, yang digapai tak sampai.
Wallahu aklam.

Friday, October 16, 2009

Catatan Bagan Pinang Dan Selepasnya.


Port Dickson selepas subuh


Ramai yang menganggap, apabila Dun 31 Bagan Pinang kalah kepada BN dengan manjoriti lebih baik, saya jatuh demam kepialu, terkejut gajah sampaikan tidak meng ’entry’ beberapa artikel di dalam blog ini. Bloger Barajiwa beberapa kali menyindir. Kalau Pas memang tentu saya melalak sakan, kata mereka.

Tidak pula begitu. Saya bukanlah bloger profesional. Ke Bagan Piang sejak 8 Oktober sehingga 12 Oktober, menginap di Aprt. Laguna Teluk Kemang, berhadapan markas DAP, malangnya tak boleh layari internet.

Bila balik, program lain sudah menunggu, termasuk ceramah di UUM, kemudian di USM, di tambah pula tulang ruat orang tua, sakit sendi di sana sini.

Bagan Pinang mencatat banyak peristiwa. Sebelum tarikh itu pun, saya sudah berkali-kali telefon kepada Zulkifli Mohamad Omar, kawan baik juga. Tapi yang angkat telefon hanyalah isterinya. Yang dapat saya kata, Zulkifli baik orangnya, bermesra dengan semua kaum sebelum menjadi calon 11 Oktober pun.


Bangunan terbengkalai di Port Dickson



Lagi bangunan terbengkalai di Dun Bagan Pinang


Yang dapat dikesani sewaktu di Bagan Pinang, ialah pembangunan yang terbengkalai. Saya tak tahu kenapa banyak projek terbengkalai. Tapi sayang isu ceramah Pas tidak sangat membangkitkan isu ini, melainkan isu Isa Samad didapati bersalah kerana rasuah. Pada mulanya saya anggap isu rasuah ini akan diterima oleh pengundi Bagan Pinang tetapi ternyata meleset kerana rasuah sebenarnya sudah ‘mangli’ kepada penyokong Umno dan rakyat rupanya menghalal isu ini. Alasannya mudah; rasuah ini bukan macam polis trafik terima duit pemandu teksi.


Orang ramai di majlis ceramah Pas


Pejabat DAP di Batu 9 Teluk Kemang menjadi pusat himpunan ceramah waktu malam. Kaget juga apabila melihat orang-orang Cina sangat hebat memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Apapun, kekalahan PAS kali ini bagi saya adalah perkara biasa dan diduga. Tapi sekiranya PAS memang, ia adalah perkara luar biasa kerana;
1. Pas berhadapan dengan pelbagai jentera.
2. Pas lemas dalam aliran belanja BN yang melampau
3. Rakyat menerima penekanan BN dari berbagai sudut.
4. Zulkifli Mohamad Omar berhadapan dengan sebuah kerajaan seperti ‘harimau lapar’ yang mahu membaham apa saja, asalkan dia menang.


Penyokong Pas turut memberi sokongan



Seorang penyokong China di Markas DAP



Lori ini bergerak ke mana-mana meminta pengundi menyokong Pas



Perempuan China ini menjadi perayu undi Pas dari pagi hingga petang


Tapi apa pun perkara yang sangat membanggakan orang Pas mahupun KeAdilan, ialah bagaimana kegigihan orang Pas menghadapi suasana ini, di mana-mana pun. Ini tidak boleh ditandingi. Bagi mereka orang Pas ini, samada datang dari negeri lain atau tempatan, satu sen yang mereka keluar, mereka yakin itu adalah jihad. Selangkah mereka langkah, adalah jihad dan satu kilometer mereka bergerak, adalah jihad. Ini tidak berlaku kepada Umno. Ahli Umno tidak pernah menjadi mesjid tempat ibadah di musim seperti ini. Putri Umno lebih senang bergaya dengan semangat ‘ Jom Heboh’ mereka.


Suami isteri turut membantu menjadi perayu undi



Wanita China juga turut membantu



Adakah risalah begini memberi kesan


Dalam pada itu ramai pemimpin Pas atau yang mengedali strategi pilihanraya, cara dan teknik menggempur, menghadapi lawan tidak menyedari kesalahan-kesalahan sendiri. Saya melihat sepanjang kempen dan ceramah, kesilapan banyak dilakukan oleh pihak PKR yang menjadi tulang belakang membantu Pas menghadapi pelihanraya N 31 ini.

Syamsul Iskandar yang dianggap juara anak muda AMK, rasanya terlampau melebihi had lajunya dalam berceramah. Memang pun sedap bagi selera orang muda, tetapi etika dan adab untuk menarik orang luar, ia sangat ‘kasar’ dan tidak dapat diterima.

Beberapa pemuisi telah menjadikan kehalusan sastera kepada kata-kata maki hamun yang tidak boleh dianggap selesa.

Ada beberapa sebab hal yang sebegini terjadi. Bagi Pas, apabila menghadapi pilihanraya kecil seperti ini, seboleh-bolehnya setiap inci bumi DUN itu hendak diisi dengan ceramah dankempen. Sepanjang tempuh berkempen, Pas tidak mahu mengokongkannya. Manakala tenaga atau petugas yang berkemampuan kurang. Maka ketika inilah Pas menerima siapa saja tawaran bagi membantu mereka, termasuk berpidato, berceramah, kerana di pentas itu diperlukan ada penceramah sehingga jam 12 malam..

Sikap dan pendirian kebanyakan mereka yang memberi nama untuk bercakap, tidak ada pendirian atau sikap hendak memberi kefahaman sesuatu isu, melainkan berhasrat apabila ia berada di atas pentas, niatnya satu: akan dihentam pihak lawan habis-habisan. Maka jadilah seluruh ucapan mereka, ucapan yang menghentam, memaki hamun, merendah-rendah pihak lawan.

Sebagai contoh pada 11 Oktober malam di Pejabat DAP Teluk Kemang, wakil dari Johor telah membaca sebuah puisi yang saya rasa sangat indah puisinya, mantap, kuat. Tetapi oleh kerana puisi yang disedia sebelum itu di’setkan’ atau direncanakan untuk menghentam BN, pemimpin BN/Umno, maka jadilah puisi malam itu puisi yang sangat ‘kurang ajar.’

Memang sedap bagi telinga pengunjung yang menyokong Pas atau PKR atau PR. Tapi bagaimana boleh diangggap sebagai pendekatan yang baik kepada orang Umno/BN atau penyokong mereka?

Pemimpin Pas kena fikir ini. Saya memang berharap kepada orang muda/ pertengahan dalam Pas seperti Dr. Zulkifli, Khalid Samad, Dr. Hatta Ramli, Tantawi dan seluruh jentera muda tidak akan menghimpun sabut-sabut lalu meniup asap-asap seperti yang dilakukan dalam kempen di DUN Bagan Pinang oleh anak muda PKR.


Anak Shanon, Nor Hayati bersama menantunya



Shahnon, guru saya dalam berkreatif


Program ‘Lorekkan Penamu’ pada 13 Oktober oleh Mahasiswa UUM sangat menarik. Bersama Pn. Nisah Harun, kami cuba memberi sedaya mungkin bagaimana hendak menjadi seorang penulis. Bagi saya bukan saja sebagai penulis, tetapi penulis yang gigih dan bertahan sepanjang hidup.

Pada 14 Oktober apabila program ‘Membaca Semula Ranjau Sepanjang Jalan’ anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, lebih menarik lagi. Dua pembentang kertas kerja dari KL, Faisal Tehrani (Dr) dan Dr. Mokhtar Hasan apabila sampai di Lapangan Terbang Bayan Lepas, tak boleh turun, kena patah balik. Menurut Dr. Mokhtar, minya nak habis, kena patah balik ke KL nak isi minyak.

Lucu! Pada hal hujan lebat.

Apapun program hasil daya usaha beberapa kakitangan Pusat Ilmu Kemanusiaan sangat memberi makna. Shahnon Ahmad lebih bermakna, lebih terserlah dan tahulah siapa Shahnon sebenarnya.

Sangat hebat sebenarnya Shahnon! Semua kertas kerja memuji dan mengangkat Shahnon sebagai raja novelis dan manusia yang memberi makna dalam kehidupannya, melainkan Faisal Tehrani dengan berani menganggap Ranjau Sepanjang Jalan tidak ada agama di dalamnya, yang memberi erti tidak boleh dibicara tentang persoalan agama, kerana tidak ada persoalan itu di dalamnya dan beliau merasa takut jika hal ini membawa kesan kepada pembaca.

Saya sendiri, dalam kertas kerja Impak Ranjau Kepada Penulis Utara menganggap Shahnon adalah guru dan saya rela dianggap berada di bawah ketiaknya, kerana saya sangat terpengaruh dengan bahasa dan gaya penceritaannya.

Prof.Dr Datuk Yusuf Hasan yang menjadi penelaah sepanjang hidup Shahnon, yang tesis PhDnya atas karya-karya Shahnon, dengan tegas memaklumkan, baginya novel Shit tidak memberi apa-apa makna malah novel Shit tidak ada dalam senarai kajiannya. Dia tidak berkenan langsung, muak, mual, katanya.

Ternyata Dr. Yusuf Hasan sangat tidak berkenan kepada Shahnon apabila Shahnon menceburi politik berpartikan kepada Pas. Shahnon katanya, menjadi alat orang lain ketika itu.

Masyaallah.....bermacam-macam kesimpulan yang boleh dibuat apabila menghadiri seminar ‘Membaca Semula Ranjau Sepanjang Jalan.’

Saya melihat Norhayati, anak Shahnon yang mewakili Shahnon, tak henti-henti mengesat air mata dan sesekali dibiarkan air mata itu meleleh ke pipi. Tak tahan kebanggaannya mendengar bapanya diangkat sebegitu rupa.

Shahnon, saya doakan sihat untuk mampu berkarya lagi.

Sunday, September 27, 2009

Apabila Mantan Presiden Umno Bersabda...

Saya berdiri di depan cermin, membelek wajah, meraba kedut pipi, melihat keputihan ubat di kepala. Lalu saya bertanya diri sendiri; apakah saya nyanyuk sekarang?

Ia bukan mustahil tapi saya percaya saya belum nyanyuk. Tapi ternyata saya sedang nyanyuk membaca berita Malaysiakini semalam (27 Sep 2009) Ini dia...

Mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan bekas naib presiden Tan Sri Isa Samad supaya tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

"Jika saya (Tan Sri) Isa, saya akan menggesa parti supaya jangan mencalonkan saya. Kemudian saya akan bekerja keras berkempen untuk calon lain yang dipilih. Dengan itu, ia akan melonjakkan reputasinya.




Soalan saya mudah: Kalaulah zaman Dr. Mahathir jadi PM dulu boleh ditarik ke masa sekarang, atau kalaulah boleh pakat-pakat cempung buah fikir, ingatan Dr. Mahathir ke zaman di mana beliau jadi PM dulu, adakah ini boleh diterima?

Banyak sangat kenyataan dan saranan Dr Mahathir seperti sekeru kecil nak tojah ke besi besar, atau besi besar nak perosok ke sekeru kecil. Semakin banyak kenyataan yang dibuat, semakin nyata bercanggah dengan apa yang dilakukan dulu.

Pak Salleh Kerengga, petani di Canglon bukan fikir tentang Isa, tapi jenuh berfikir tentang kata-kata Dr. Mahathir, betulkah cakap beliau dengan apa yang berlaku masa PM dulu?

Seorang tukang karut boria Pulau Pinang kereyau kuat: Yeebabbbb!